Estrogen Punca Utama Kanser Payudara Lelaki



SECARA lazimnya, apabila kita berbicara mengenai kanser payudara ia lebih tertumpu kepada golongan wanita.


Ini kerana ramai berpendapat bahawa penyakit tersebut merupakan penyakit eksklusif wanita tetapi tahukah anda penyakit tersebut juga boleh menyerang kaum lelaki?


Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan statistik daripada Majlis Kanser Nasional di mana dari 1999 hingga 2006 bagi negeri Kelantan, seramai enam lelaki telah meninggal dunia akibat penyakit itu bahkan kebanyakan kanser payudara yang menyerang lelaki kesannya jauh lebih buruk kerana kanser berkenaan akan menular kepada organ lain dengan cepat sehingga membawa kematian.


Bagaimanapun menurut Pakar Onkologi dan Radioterapi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr. Lum Wan Heng, statistik dari Pendaftar Kanser Malaysia pada 2004 menunjukkan bahawa pesakit lelaki yang menghidap penyakit kanser payudara hanya 0.3 peratus berbanding 100,000 pesakit perempuan.


Tambah beliau, dengan peratusan tersebut secara tidak langsung ia menunjukkan bahawa penyakit tersebut jarang berlaku dan menyerang di kalangan kaum Adam.‘‘Sebenarnya, statistik yang dikeluarkan tidak menunjukkan jumlah yang membimbang kerana jumlahnya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan kaum wanita.




‘‘Namun begitu mana-mana lelaki sekalipun boleh menghidapinya walaupun wanita adalah 100 kali lebih cenderung mengalami kanser payudara.‘‘Kebiasaannya kanser payudara lelaki ini lambat dikesan kerana mereka (lelaki) tidak menyangka kanser payudara akan menyerang golongan tersebut dan kerana itu sedikit atau tiada langsung pengesanan awal dibuat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Selangor, baru-baru ini.

Jelas Dr. Wan Heng lagi, statistik yang dikeluarkan tetap tidak akan berganjak (bertambah) melainkan populasi rakyat Malaysia bertambah.Katanya, ini kerana penyakit ini hanya akan menyerang kaum lelaki sekiranya ada pertambahan hormon wanita iaitu estrogen atau penurunan hormon lelaki iaitu endrogen.
Pada masa yang sama, risiko seorang lelaki untuk mendapat penyakit tersebut juga tinggi sekiranya terdapat ahli keluarga yang menghidap penyakit tersebut iaitu penyakit turun-temurun selain disebabkan Sindrom Klinefelter (XXY- ketidakseimbangan genetik) keabnormalan dalam gen kanser payu dara.


Jelas beliau lagi, kebanyakan pesakit lelaki yang menghidap kanser payudara berumur 60 tahun ke atas tetapi ia juga boleh berlaku pada mana-mana lingkungan usia.
Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut, menurut Dr. Wan Heng, lelaki biasanya tidak mempunyai payudara dan bahagian tersebut lazimnya disebut dada.
‘‘Kanser payudara sememangnya merupakan penyakit untuk kaum wanita.
‘‘Ini kerana bahagian tersebut pada lelaki tidak dipanggil payudara tetapi dipanggil dada dan ia tidak mengeluarkan susu seperti wanita,’’ katanya lagi.




Justeru katanya, sebagaimana wanita, lelaki juga perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengesan keganjilan seumpama benjolan terutama di puting payudara atau pembesaran sebelah payudara secara tiba-tiba.


Menurut Dr. Wan Heng lagi, penyelidikan turut mendapati bahawa sifat-sifat klinikal kanser payudara lelaki adalah sama sahaja dengan perempuan.‘‘Sekalipun kanser payudara jarang berlaku di kalangan kaum lelaki, adalah penting bagi orang ramai menyedari bahawa ia boleh berlaku.


‘‘Kanser payudara lelaki adalah sama dengan kanser payudara yang menyerang perempuan dan ia adalah sangat penting bagi mereka untuk mengetahui maklumat yang sama dan memerlukan sokongan dan keprihatinan seperti kaum wanita yang menghidap penyakit kanser payudara,” katanya.Untuk itu, anda dinasihatkan agar terus berjumpa doktor sekiranya terdapat perubahan pada payudara anda.


Lelaki yang menghidap kanser payudara akan berasa ketulan atau benjol di bahagian buah dada mereka.Kanser payudara lelaki juga dirawat sama seperti kanser payudara wanita dan cara rawatan diberikan bergantung kepada jenis dan peringkat kanser.


Secara umumnya, kanser payudara lelaki masih lagi dianggap sedikit tetapi kesedaran adalah penting dalam menangani sebarang jenis penyakit.

C.I : Mesti ramai yang tidak mengetahui yang kanser payudara juga boleh dihidapi oleh lelaki.Oleh yang demikian para lelaki juga harus ambil tahu dan berhati-hati sebelum terkena.
Estrogen Punca Utama Kanser Payudara Lelaki Estrogen Punca Utama Kanser Payudara Lelaki Reviewed by C.I on April 05, 2020 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.