Rahsia Menghadapi Krisis Kewangan Keluarga Dengan Tenang


Ramai rakan-rakan yang seangkatan dengan saya terutama para suami mengeluh tentang suatu perkara. Kata mereka, sewaktu diri ini berharta dan hidup senang, isteri mereka cukup setia. Tetapi tatkala mereka menghadapi krisis kewangan dik kerana bisnes yang tidak begitu memberangsangkan, isteri mula naik angin dan mengeluarkan kata-kata yang cukup memedihkan.

Mungkin untuk menghadapi situasi kemelut kewangan yang sebegini, kita harus bermula dengan langkah-langkah yang wajar, contohnya dengan mengamalkan Rahsia 5B seperti berikut:

1. Berhati-berhati memilih calon isteri

Benar kata orang tua-tua, jika hendak memilih calon isteri biarlah yang sudi untuk hidup susah dan senang bersama kita. Begitu juga isteri yang prihatin dan mudah rasa bersyukur dengan apa yang ada, adalah sifat yang sesuai dalam persediaan menghadapi krisis kewangan keluarga.

Namun jika anda sudah berkeluarga, hal ini perlu dikendalikan dengan sebaiknya. Mempamerkan kemewahan demi cinta kita kepada isteri adalah tidak digalakkan kerana dikhuatiri isteri tidak mampu menahan emosi di kala anda mengalami kegawatan pendapatan.

2. Berterus-terang dengan isteri

Sifat menyembunyikan masalah kewangan daripada diketahui oleh isteri juga adalah sifat tidak bertanggungjawab. Ini kerana sebagai ketua keluarga, anda harus berterus-terang dan ajaklah si isteri berbincang tentang langkah-langkah terbaik untuk menangani masalah kewangan anda sekeluarga.

Berikan maklumat dengan sejelas-jelasnya sejak dari awal lagi agar isteri tidak terkejut dengan perubahan drastik menghadapi kegagalan suami.  Ini juga bagi mengelakkan isteri dari mula mengamuk dan menaruh curiga kepada suami akibat menerima maklumat yang tidak tepat dari sumber lain.

3. Berlembut dengan isteri

Semasa menerima berita buruk tentang kegagalan bisnes suami, isteri mungkin akan mengalami reaksi yang tidak terkawal, menangis, marah-marah, melenting dan sebagainya. Sebenarnya ini adalah reaksi normal bagi seseorang yang menerima perkhabaran buruk.

Anda sebagai suami hendaklah terlebih dahulu bersedia dengan kawalan emosi yang stabil dan tenang. Dekati isteri secara berhemah, lembut dan rasional dalam tindakan. Jika anda mampu bersabar dalam menghadapi emosi isteri, tidak mustahil rasa terkejut dan putus asa isteri akan beransur terkawal, reda dan pulih serta menerima ketetapan Ilahi.

4. Berusaha lebih gigih

Suami yang baik perlu membuktikan kepada isteri bahawa dia mahu menyelamatkan keluarga dengan bekerja lebih gigih. Memang tatkala
menghadapi tekanan, kerja akan menjadi sedikit terjejas. Namun ia dapat diatasi hanya dengan kembali bangkit dan berusaha bersungguh-sungguh demi mendapatkan kejayaan dari Allah s.w.t.

5. Bimbing jiwa dengan ilmu

Jangan bersedih dan gelisah. Ubat penawar kesedihan dan kegelisahan manusia adalah ilmu yang disusuli dengan amal soleh. Timbalah ilmu sedalam mungkin untuk menjadi penyokong agar anda sentiasa berada di atas landasan yang betul dalam setiap perkara yang anda kerjakan. Percayalah, setelah berusaha kita mesti memanjatkan doa dan harapan kita hanya kepada Yang Maha Pencipta kerana segala ketentuan adalah di atas kuasa-Nya.

CINTA : Selamat membaca artikel kali ini mengenai krisis kewangan keluarga.Harus ambil berat kerana banyak kes penceraian sekarang melibatkan wang atau perbelanjaan rumah tangga yang tidak stabil.



Rahsia Menghadapi Krisis Kewangan Keluarga Dengan Tenang Rahsia Menghadapi Krisis Kewangan Keluarga Dengan Tenang Reviewed by C.I on April 16, 2015 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.