Obses Lelaki Gila Bayang


Bukan perkara pelik, apabila ada lelaki `gila bayang’ dan terkejar-kejar perempuan yang disukai. Golongan Adam akan buat apa saja cara untuk memenuhi dan menggapai impiannya hingga ada kalanya tindakan mereka keterlaluan serta tidak masuk akal.

Ayat-ayat berbaur cinta dilayangkan dalam pelbagai cara dan bentuk. Jika dulu kad ucapan atau surat dipos, jadi pengantara untuk menyampaikan hasratnya, tetapi pada zaman siber ini, kaedah itu menjadi lebih mudah dan pantas dapat direalisasikan pada bila-bila masa tidak kira siang, tengah malam, dinihari atau awal pagi menerusi teknologi terkini seperti sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel dan twitter.

Namun, tidak cukup dengan cara itu, ada lelaki yang obses terhadap wanita diminati akan terus mengorak langkah tanpa jemu untuk memenangi hatinya dengan mengirim jambangan bunga, kad dan hadiah misteri sebagai kejutan tanda melahirkan seluruh isi hatinya sebelum cinta berputik antara mereka.

Umpamanya, ketika memberikan hadiah misteri, macam-macam idea digunakan. Sebilangan lelaki berperangai `gila’. Idea itu mungkin ditiru selepas menonton filem atau drama, tapi ada juga original hak cipta terpelihara daripada dirinya sendiri.

Filem Ali Setan berkisar kisah cinta di kampus, lakonan Azmil Mustapha memegang watak Ali, pelajar universiti yang nakal menghadiahkan seekor katak diletakkan di dalam kotak kepada Asmidar (Fauziah Ahmad Daud) sebagai hadiah hari jadi. Logik atau tidak memang ada insan sanggup lakukan cara sebegini menghadiahkan katak hidup kepada orang yang diminati, meskipun pada awalnya cuma gurauan.

Itu di dalam filem yang mungkin kita fikir ia sekadar imaginasi pengarah dan penulis skripnya saja. Namun, realitinya situasi itu memang berlaku dan bukan di alam fantasi. Cerita dipaparkan dalam akhbar, seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Hisyam, 34, menghantar kiriman nota tertulis ayat-ayat cinta, seluar dalam dan tiga ekor ayam hidup kepada seorang setiausaha sebuah syarikat swasta beberapa minggu lalu, yang wajahnya mirip Diana Danielle bukan suatu yang pelik.

Malah, sebelum itu, lelaki berkenaan juga meletakkan satu sampul surat mengandungi bekas cermin mata, gelang dan dua keping gambar lelaki Melayu, selain nota tertulis I Love You, kepada Pang Chin Fei, dalam peti surat di kediaman wanita berkenaan. Tingkah laku lelaki itu memperlihatkan dia begitu obses terhadap pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu sanggup menghantar hadiah berbentuk sedemikian.

Fanatik terhadap seseorang menjadikan lelaki itu sanggup buat apa saja untuk meluahkan naluri hatinya yang begitu minat mendalam dan mengagumi mereka. Mungkin dalam kes itu lelaki berkenaan berniat iklhas untuk menghadiahkan barangan terbabit sebagai peminat setianya.

Sebenarnya banyak kes lelaki fanatik yang melakukan kerja `gila’ kerana mahukan seorang wanita atau sekadar suka-suka tanpa tiada sebarang tujuan. Seperkara lagi, mungkinkah dari segi psikologinya jejaka sedemikian mempunyai masalah tekanan jiwa atas perkara tertentu.

Tidak mustahil masalah tekanan jiwa melingkari diri seseorang terutama pada zaman moden ini corak dan gaya hidup masyarakat semakin berubah serta penuh dengan konflik. Tabiat dan tingkah laku itu sebagai salah satu cara untuk melepaskan tekanan perasaan. Sama ada menang atau kalah untuk memikat hati insan bernama wanita, itu sudah dikira lain. Jika ada pula maklum balas positif daripada wanita ia dikira bonus, pucuk dicita ulam mendatang. Ini peluang terbaik untuk si jejaka meneruskan langkah.

Justeru, lelaki memang boleh bertindak mengikut naluri dan kata hati mereka. Jika sudah suka atau minat, semuanya boleh dilakukan dan tiada istilah kepayahan untuk menggapai impian. Ada kalanya hati dan naluri lelaki sukar dibaca. Begitu juga dengan mesej lain seperti SMS yang sering dihantar dengan menggunakan ayat `maut’, Segelintir lelaki dalam apa juga kategori sama ada bujang, duda atau berstatus suami dengan selamba menghantar SMS ungkapan berbaur seksual walaupun baru saja mengenali wanita.

Lazimnya, apabila lelaki sudah ada sifat obses itu, mereka akan lebih bersungguh-sungguh melakukan sesuatu untuk wanita dengan rela, mengongkong kebebasan kekasihnya kerana perasaan cemburunya yang meluap-luap, takut kehilangannya, justeru, sentiasa ingin mengawasi pergerakannya, tidak suka bila ada lelaki lain rapat dengan kekasihnya.

Pada masa sama, sifat cemburu akan menguasai diri, rasa gelisah apabila kekasih berjauhan, sentiasa memastikan keselamatan kekasih, mahu berjumpa setiap masa atau saling berhubungan.

Seterusnya mereka mahu tahu mengenai diri wanita dengan lebih mendalam bukan hanya terhadap perkara asas.

Apakah hobi, makanan kegemaran, sifat kecenderungan dan sebagainya. Lelaki selalunya suka perempuan yang mempunyai minat yang sama dengannya. Bagi wanita pula memang akan tertarik sekiranya lelaki itu bersikap prihatin, suka memberikan kejutan seperti memberikan hadiah misteri, dipujuk atau dibelai, diberikan, pujian, memahami dan bertanggungjawab.

Secara umumnya, karakter lelaki memang berbeza mengikut peringkat usia sebelum mereka berada pada tahap fanatik terhadap seorang wanita. Bagi mereka berusia 20-an ia dianggap fasa seronok dan mempersiapkan diri mencari pasangan serasi sebelum mengambil keputusan untuk berumah tangga. Lelaki pastinya akan mencari wanita cantik dan sejuk mata memandang.

Pada usia 30-an lelaki mula memperkukuhkan diri dan stabil dari segi kerjaya, kewangan dan kewarasan fikiran. Seterusnya mencari wanita yang boleh dijadikan isteri untuk berkongsi hidup dan sekali gus pencarian itu dianggap lengkap sebaik saja berumah tangga.

Pada usia 40-an, fasa kehidupan lelaki lebih matang. Malah ramai yang menganggap, kehidupan bermula usia 40. Justeru, mereka lebih sensitif mencari makna sebenar kehidupan. Pada usia ini wujud kesedaran untuk mengukuhkan lagi hubungan perkahwinan. Mereka lebih pantas bergerak dari satu peringkat ke satu peringkat. Namun, tidak kurang juga ada juga yang mencampur aduk dengan keinginan untuk mencari kelainan dalam kehidupan.


CINTA : Memang susah kalau dah gila bayang.Bak kata orang hati dah jadi angau.Semoga artikel ini menjadi satu artikel yang berguna.InshaAllah





Obses Lelaki Gila Bayang Obses Lelaki Gila Bayang Reviewed by C.I on April 09, 2015 Rating: 5

1 comment:

  1. saya nak cari awek umur 18-35 tak kira janda dan anak dara sms ke 0166815851,hanya kl dan selangor sahaja?

    ReplyDelete

Powered by Blogger.