SELEPAS perkataan 'bermadu', perkara lain yang paling ditakuti oleh golongan wanita ialah 'lemak'. Lemak yang selama ini digeruni wanita membawa pelbagai masalah kerana menjadi punca utama kepada faktor kegemukan dan obesiti.
Bagaimanapun kaedah terkini yang dipanggil pemindahan lemak telah mengubah persepsi mengerikan terhadap pepejal yang selama ini dianggap langsung tidak berguna kepada manusia.
"Sebahagian lemak, selepas diproses masih mempunyai manfaat kepada wanita," kata doktor Hakim Hamzah dari klinik estetik Ayu Jelita, Ampang, Selangor.
Bekas pensyarah sakit puan di sebuah hospital di ibukota ini memberitahu, kaedah pemindahan lemak atau fat transfer menjadi rutin rawatan kecantikan yang paling terkini, popular dan dipercayai ramai.
Apa itu fat transfer?
Secara umumnya pemindahan lemak ialah satu prosedur yang dilakukan bagi memindahkan lemak di sesuatu bahagian badan, kepada satu bahagian badan yang lain.
Sebagai contoh, lemak di bahagian paha atau punggung diambil, diproses dan kemudian disuntik ke bahagian muka. Prosedur ini hanya mengambil masa antara 20 ke 30 minit kerana ia tidak terlalu rumit untuk dijalankan.
"Prosedur fat transfer sebelum ini hanya digunakan bagi tujuan pembedahan kosmetik. Bagaimanapun hari ini, ia juga digunakan bagi tujuan kesihatan termasuklah pembinaan semula payu dara bagi wanita yang berhadapan dengan kanser payu dara," kata doktor Hakim lagi.
Bagaimanapun menurut beliau, tidak semua lemak dalam badan boleh dipindahkan kerana kualitinya yang berbeza-beza. Kebiasaannya, lemak di bahagian perut kurang sesuai untuk diaplikasi sebaliknya sementara yang terbaik pula berada pada bahagian peha dan punggung.
Lemak buat wanita cantik
Menurut doktor Hakim lagi, fungsi lemak amat penting dalam membentuk kecantikan serta keanjalan kulit di bahagian tertentu pada badan manusia.
Misalnya, pada usia 16 hingga 27 tahun, taburan lemak dalam badan wanita masih berada di tempat yang sepatutnya. Lemak ini berada di lokasi strategik dan kelihatan cantik, justeru dalam usia berkenaan ia dianggap sebagai zaman keemasan bagi seorang wanita.
"Lemak-lemak inilah yang mencantikkan payudara, punggung dan juga tempat-tempat tertentu seperti pipi dan dagu. Maka dengan itu, dalam usia lingkungan 16 sehingga 27 tahun, setiap wanita memiliki struktur badan paling indah, selain kulit yang halus mulus, licin dan segar bermaya," katanya.
Bagaimanapun memasuki usia 29 tahun keadaan mula berubah. Proses kematangan usia, graviti, tekanan mental dan fizikal akibat bersalin dan kerja seharian, menjadikan keindahan itu merosot sedikit demi sedikit.
"Otot-otot manusia menjadi semakin aktif, manakala lemak di tempat seperti dagu, pipi, punggung akan terhapus hari demi hari. Proses semulajadi ini seterusnya mengakibatkan kulit mulai kendur, timbul lekuk-lekuk pada permukaan wajah selain pigmentasi yang semakin jelas bertompok.
"Di sinilah teknologi mengambil bahagian. Melalui prosedur pemindahan lemak ini, ia mampu mengembalikan semula kecantikan seseorang wanita apabila tempat kosong dan terjejas itu diisikan semula.
"Kita pindahkan lemak yang berada di tempat yang tidak sepatutnya, ke tempat yang sepatutnya ia berada," katanya.
Kaedah selamat, lebih efektif
Jika bercakap dari sudut kaedah rawatan kecantikan, apakah yang membezakan antara kaedah ini dengan botox mahupun filler yang telah sekian lama digunapakai?
"Bezanya ialah, kaedah pemindahan lemak ini dianggap lebih selamat. Ia juga tidak akan menjejaskan ujian kanser kerana hanya menggunakan produk daripada badan individu itu sendiri. Ini bermakna, risiko penolakan jarang berlaku.
"Berbanding penggunaan kaedah lain, pemindahan lemak ini lebih selamat kerana ia serasi dari segi biologikal," katanya.
Selain itu sel lemak juga tidak pernah menjadi barah yang berbisa dalam badan dan ia boleh dipindahkan pada mana-mana bahagian terutamanya di muka, bibir dan buah dada bagi proses pemuliharaan.
"Fat transfer menjadi pilihan terkini juga sudah tentu kerana kos yang efektif. Prosedur ini tidak membuatkan pelanggan berasa membazir dibandingkan dengan perkhidmatan kecantikan yang lain," katanya lagi.
Apa yang penting, menurut beliau prosedur ini tidak mengubah bentuk wajah asal seseorang. Jika botox menegangkan dan filler boleh membuatkan dagu atau hidung berubah bentuk menjadi lebih mancung, prosedur ini sebaliknya memberikan kesan keaslian kepada pemiliknya.
"Prosedur ini hanya memberi semula sel baru (stem cell) yang telah hilang. Apabila sel baru diaplikasi, wajah kelihatan jauh lebih muda berbanding sebelumnya.
"Ini yang berlaku apabila lemak-lemak yang telah hilang diisi semula ke bahagian yang sepatutnya ia berada," katanya.
CINTA : Selamat membaca lemak pun ada manfaatnya ok.
Manfaat Lemak Dari Badan Sendiri
Reviewed by C.I
on
April 21, 2015
Rating:
No comments: